5/21/2009

DUNIA TERBUKA, LANSKAP POLITIK BERUBAH,
POLITIKUS JUGA WAJIB BERUBAH

Menerima warkah dari wisma adalah satu sejarah buat saya yang baru mencuba dunia blogger. Melalui email saya, Sdr Setiausaha Politik YAB Menteri Besar Kedah mengirimkan satu penjelasan yang tulus tentang persoalan yang saya kutip dari Kedahlanie..... tu la, Kedahlanie... awat hang pandai-pandai boh cerita Merbau Pulas tu???
Saya nak ucapterima kasih kepada beliau, dan tak sangka banyak sekali tugas beliau dalam usaha menjernihkan kekeruhan yang ditimbulkan di sana sini..macam tukang sapu sampah la juga.... tang mana ada orang buat sampah, dia kena la pi sapu..macam tu ka Tuan Setiausaha Politik?
  • Apa yang menyebabkan rakyat beralih dari BN kepada PR?
  • Kerana hilang kepercayaan muak dan meluat.
  • Apakah tarikan kuat yang ada pada PR hingga rakyat tanpa mengira bangsa berduyun-duyun memberi sokongan?
  • Kerana amanah, jujur, ikhlas, tak rasuah, tak bolot harta, disiplin agama, people-centric, anti-selfish, menolak KKN dan banyak lagi la..

Rakyat sudah cerdik, satu rumah ada dua tiga orang graduate, ada Astro, ada internet. Sistem nilai dan cara berfikir rakyat sudah berubah. Apa yang disembunyikan kini sudah terdedah semuanya.. apa yang berlaku saban hari di sekeliling membentuk pemikiran rakyat dan apa yang difikir menjadi budaya hidup masyarakat.. Mata, telinga mulut terbuka serentak untuk mengatur kaki dan tangan...

Hal ini mengubah persepsi rakyat terhadap BN dan PR. Sejak merdeka, pihak-pihak di luar mainstream yang dibentuk oleh Perikatan/BN digambarkan sebagai pengganas, bahaya, komunis dan sayap kiri. Ini nasib yang menimpa tokoh besar pejuang kemerdekaan seperti Almarhum Dr Burhanuddin, Ust Abu Bakar Al Baqir, Ahmad Beostamam, Ishak Hj Muhammad, Rashid Maiden, Chin Peng dan lain-lain. Selepas merdeka, demi kuasa, persepsi ini makin disuburkan hinggakan propaganda bagi menjayakan maksud itu penuh melimpah dalam kepala rakyat. Tiada yang lain selain BN yang mampu memerintah dan memakmurkan negara ini. Rakyat dipaksa menelan propaganda ini selama 50 tahun.

Masa berubah, kepandaian dan kecerdikan memandu perubahan rakyat, berbanding kebodohan dan kedunguan selama 50 tahun mengurung rakyat dalam sangkar BN. Keputusan yang dibuat oleh kecerdikan tentulah lebih baik daripada pendirian yang dipaksa akibat kebodohan. "Orang bodoh makanan orang cerdik. Perubahan ini akan kekal selagi rakyat terus memilih untuk cerdik.

Oleh sebab itu, apa saja propaganda yang dihidangkan untuk santapan orang bodoh dahulu akan ditolak mentah-mentah pada waktu ini, dan kelakuan yang ditiru dari kepimpinan yang meperbodohkan orang akan dihina dan dikutuk.

Pemimpin orang cerdik dan terbuka sekarang ini juga perlu lebih terkehadapan daripada orang yang dipimpin. Sebab itu antara dua EXCO yang dipanaskan oleh Kedahlanie, satu mendapat pembelaan, satu lagi diancam dan dikutuk.

Sedih sungguh dengan cerita dua senario ini.. pertamanya, pemimpin terpaksa mendedahkan kebaikan yang dibuat untuk dinilai oleh manusia di dunia gara-gara tohmahan orang bodoh... dan keduanya dosa sulit pemimpin terdedah juga untuk dinilai dan dijauhi dikalangan pemimpin orang cerdik.... Inilah dunia terbuka.... Politik berubah, politikus juga wajib berubah, jangan diulangi ciri-ciri kebodohan.....jika tidak.....selamat jalan romeo.. Jika terpaksa, antara dua pendedahan itu, saya pilih yang pertama...!! Wallahu a'lam.

WARKAH DARI WISMA

WARKAH TERBUKA KEPADA :
SELURUH PEMBACA KEDAHLANIE.BLOGSPOT.COM, PENYUMBANG BERITA DAN ARTIKEL, & ADMIN.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Salam hormat daripada saya di Wisma Darul Aman, Alor Setar. Terlebih dahulu saya mengajak diri yang kerdil ini, seluruh pembaca, penyumbang berita dan blogger untuk memanjatkan rasa syukur kepada Allah s.w.t di atas nikmat dan rahmat yang dianugerahkan. Mari kita terus meningkatkan ketaqwaan kepadaNya, moga-moga kita semua beroleh keampunan dan keredhaan.

Saya telah mengikuti rapat bahan-bahan yang dipaparkan dilaman maya Kedahlanie berkaitan isu-isu Negeri Kedah, dan mengutip semua sumbangsaran yang dilontarkan, sama ada punya identity atau bersembunyi. Saya ambil kesempatan untuk merakamkan jutaan terima kasih atas usaha anda semua.

Bagi undian prestasi Kerajaan Negeri Kedah, saya telah menganalisa semua komen berasaskan beberapa bidang dan kelompok, dan saya telah memanjangkannya kepada YAB Dato’ Seri Menteri Besar (MB) untuk tindakan selanjutnya.

Berkaitan isu tuntutan yang dikatakan melampau yang tidak dinyatakan tuan tubuh Exco yang terlibat, saya telah memaklumkan kepada MB dan beliau akan mengambil tindakan perlu untuk mengatasi perkara tersebut jika didapati wujud kes seperti yang didakwa. Tidak dapatlah saya nyatakan di sini bentuk tindakan dan siapakah individu tersebut. Kepada penulis yang menggunakan nama Penyiasat Persendirian diharap dapat menghubungi saya untuk penjelasan lanjut.

Berkenaan isu rumah Adun Merbau Pulas, saya telah berjumpa dan mendapatkan penjelasan beliau. Benar seperti yang dinyatakan oleh beberapa responder bahawa ruang tambahan itu adalah untuk dijadikan Pusat Khimat Wakil Rakyat (PKWR). Kos ubahsuai adalah antara RM35 – RM40 ribu sahaja daripapa wang simpanan beliau sendiri, wang pencen suami (Cikgu Ramli) dan duit kebun getah pusaka keluarganya.
Sebahagian daripada kos tersebut masih belum dibayar (berhutang) kepada pembekal (hardware) dan upah tukang, dianggarkan berjumlah RM17 ribu. Dakwaan bahawa kos yang melebihi RM80 ribu dari dana kerajaan yang diseleweng adalah tuduhan yang amat berat dam keterlaluan. Saya harap abudzaralghifari bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t dan daripada YB Adun Merbau Pulas, keluarga beliau dan seluruh pengundi beliau. Ingatlah penegasan Allah dalam Al_Quran “Sesungguhnya dosa memfitnah adalah lebih berat daripada membunuh”.
Beliau tahu pihak-pihak yang bertanggungjawab mereka-reka fitnah tersebut, dan anaknya menyimpan nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki oleh dua orang yang mengambil gambar rumahnya pada hari tersebut. Laporan polis sedang dipertimbangkan untuk memastikan perkara ini tidak berulang.

Saya secara pribadi amat berat untuk bertanyakan hal tersebut, dan jawapan beliau mengundang titisan air mata tanpa disedari. Memandangkan beliau memegang portfolio kebajikan, memberi sumbangan dari wang gaji, melawat, menziarah dan merasai pederitaan rakyat (seperti Adun-Adun lain), tidak dapat dielakkan lagi. Hampir separuh daripada gaji dan elaun bulanan disumbangkan kepada masyarakat, PKWR dan parti, satu pertiga untuk perjalanan ulang-alik beliau ke pejabat di Alor Setar dan sebahagian kecil untuk diri dan keluarga beliau. Semuanya dibentangkan secara terperinci.
Tidak dapat saya bayangkan kesukaran dan pengorbanan beliau untuk melaksanakan amanah yang dipikul, semoga semua itu dianugerahkan ganjaran kebaikan daripada Allah s.w.t. Walaupun tidak ada baki untuk menjadi harta dunia untuk diwarisi anak-anak, beliau tetap bersemangat untuk terus berkhidmat dan menunaikan amanah yang amat berat itu. Marilah kita berdoa semoga beliau terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t untuk meneruskan perjuangan mulia ini.

Saya amat berharap jawapan ini dapat menamatkan pergelutan maya dalam suasana politik yang serba terbuka di zaman ini. Anasir-anasir jahat pihak musuh perlu sentiasa diawasi, baik musuh itu berupa syaitan, jin, manusia, dan nafsu dalam diri.
Kepada penyokong-penyokong Pakatan Rakyat, saya menyeru agar kita dapat bersatu dan mendokong hasrat melahirkan sebuah negeri yang sejahtera, tempat berteduh orang miskin dan lemah yang terbela bersama orang kaya yang pemurah. Semoga usaha kita mendapat barakah dan hidayah daripada Allah s.w.t.

Sekian Terima kasih

Yang benar,

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
SETIAUSAHA POLITIK
YAB DATO’ SERI MENTARI BESAR KEDAH

Labels: