10/05/2009

Isu Selcat Selangor, Kenapa Hasan Ali Mesti Disokong?


Penyapulidi09

Banyak juga komen pembaca kepada tulisan saya dalam KedahLanie bab Khalid Samad (KS) dan Hasan Ali (HA). ‘Wak’ menulis saya menyokong Hasan Ali (HA) mengkhinzir buta dan Pourg menyatakan hujjah saya dangkal dan sempit dalam konsep wala’. Nampaknya ada yang tidak memahami isu pokok dan menjadi penyokong KS mengkhinzir buta juga. Ada yang tidak tahu mengira 2009 – 1983 = 40 (26). Kenapa saya katakana KS lebih sudu dari kuah? Sebahagian sebabnya sudah saya utarakan dalam tulisan awal, yang lebih fundamental ialah memahami isu pokoknya iaitu Selcat Selangor.

Selcat 1

Penjawat awam di mana-mana juga macam satu koloni kalkatu. Isu di Selangor juga diulas di Kedah oleh KCS walaupun KCS dan PTD tidak sebumbung. Rata-rata mereka kurang senang dengan cara Selcat mengendalikan prosiding ke atas penjawat awam, seolah-olah mereka pula yang kena tanggung kesalahan orang politik BN/UMNO.

Penjawat awam (PA) melaksanakan dasar dan arahan-arahan yang dibuat oleh politician, dan menanggung semua akibat daripada melaksanakan dasar-dasar itu. Undang-undang dan peraturan seperti General Order dan lain-lain membaluti PA (legal bind), bukan orang politik. Orang politik hanya disabitkan jika ada unsur jenayah dan rasuah. Apa yang paling diharapkan oleh PA ialah sokongan dari politician, jika terdapat arahan-arahan dan tugasan yang mendatangkan risiko. Ini budaya kerja PA sejak berpuluh tahun lamanya.

Selagi peraturan dan prosedur kerja membenarkan, PA akan laksanakan apa sahaja arahan pembuat dasar (politician). Dasar berubah-ubah, tapi prosedur kerja dan peraturan yang memandu PA jarang berubah.

Pada pandangan saya Selcat telah overkill PA. Ini boleh dibuat dalam mahkamah yang tak dipilih oleh pengundi. Selcat tetap dibaca dan dipandang sebagai satu tindakan balas dendam oleh satu badan politik. Ini hanya perlu dihadapi oleh orang politik, bukan oleh PA. PA perlu dihadapkan ke mahkamah untuk menjawab sebarang penyelewengan kerana mereka percaya di sana tiada penglibatan politician seperti Selcat.

Tindakan Selcat walau atas asas yang benar dan kuat bagi politician, tetapi tetap dianggap bodoh dan salah tempat oleh PA. Mereka belum bersedia untuk budaya baru Selcat itu.

Saya berpendapat dengan budaya kerja dan doktrin yang tertanam di kepala PA di Malaysia sekarang, Selcat belum boleh lagi dipacu sebagai senjata melondehkan UMNO menerusi fungsi PA. Ada lebih sejuta PA di negara ini. Selain melaksanakan tugas rutin, mereka juga adalah RO dan kaitangan SPR pada musim pilihanraya. RO tidak kurang besar kuasa dan peranannya. Kebanyakkannya adalah DO dan YDP PBT. Networking mereka nationwide & worldwide. Apa yang dilakukan di Selangor juga akan beri kesan di Kedah. Ini yang menjadi sebab saya mempertahankan HA dari serangan KS.

Semangat kemelayuan di kalangan PTD sangat tinggi, Ia ditanam sejak mula berkhidmat melalui ratusan kursus termasuk BTN. Kebanyakan yang dihadapkan kepada Selcat adalah DO yang telah berkhidmat 25-30 tahun. Walaupun ada PA yang kaki rasuah, tetapi bila ‘ditenyeh’ dan diasak oleh kaum lain, mereka anggap itu seperti melancarkan perang ke atas bangsa Melayu.

Apa yang dibuat di Kedah selama setahun setengah ini ialah memastikan mereka selesa bekerja, menanam keyakinan dengan kerajaan baru, memberi arahan selari dengan peraturan dan prosedur kerja...dan kesannya PA mula telah mula melaksanakan program Islam tanpa diarahkan. Program bulan sembahyang, pasar malam Islam, operasi pusat judi dan maksiat, menghidupkan pondok-pondok, dan banyak lgi sekarang dilaksanakan dengan inisiatif DO dan YDP PBT. Bila PA yang anjur program, rakan-rakan bukan Islam dalam DAP dan PKR tak banyak soal. Tak payah suruh dan paksa-paksa. Inilah pendekatan politik, bukan pendekatan perundangan.


Selcat 2.

Saya melontarkan kenyataan ini hasil diskusi saya dengan beberapa pegawai tinggi kerajaan yang tetap beranggapan Selcat Selangor bermotifkan kepentingan politik, walaupun mereka semua faham apa peranan jawatankuasa- jawatankuasa yang diwujudkan dibawah cabang legislative seperti Selcat. Semua laporan jawatankuasa lain dibentangkan secara lisan dan dibekalkan dengan dokumen kepada Ahli Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, selepas semua proses siasatan selesai. Seperti laporan Ketua Audit Negara, walau diguna semaksimum mungkin untuk mendedahkan dan menghentam penyelewengan kerajaan UMNO/BN, tak ada siapa melenting, kerana ia adalah dokumen rasmi yang disediakan dengan semua proses yang diyakini.

Tapi cara Selcat mendedahkan 'proses' siasatan, bukan lagi 'hasilnya' (kerana belum siap), belum didokumenkan dan belum dibentangkan di DUN, adalah satu langkah yang kasar dan keterlaluan bagi PA yang disoal siasat sebagai saksi. Ini yang membina tanggapan bahawa selcat lebih bermotifkan politik daripada menjalankan fungsinya yang sebenar.

Kesilapan HA yang banyak disebut orang ialah membuat teguran di media, tidak di mesyuarat Exco atau DUN, tetapi pada saya, itu adalah bersesuaian dengan kaedah siasatan Selcat yang juga tersiar di media dan ada videonya sekali. Saya beranggapan ia bertujuan mententeramkan / mendedahkan pembelaan oleh HA daripada PAS terhadap PA yang rasa tertekan dengan kaedah Selcat. Kalau ditegur di Mesyuarat Exco, PA yang tahu mereka dipertahankan hanya Setiausaha Kerajaan, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang. (Juga Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan yang mencatatkan minit mesyuarat EXCO). Dan mereka semua terikat dengan sumpah menyimpan rahsia. Ia tidak boleh didedahkan kepada sesiapa termasuk DO-DO yang rasa tercabar/terhina/ terbuli oleh Selcat.

Ataupun memang ada tujuan dan matlamat lain yang tidak kita ketahui kerana tidak pernah didedahkan - contohnya HA telah mencubanya dengan cara lain tetapi tidak didengari gara-gara suara PAS yang minoriti dalam kerajaan.

Saya ingin mempertegaskan kenyataan saya bahawa Teng Chang Kim (Pengerusi Selcat) ada agenda lain dalam Selcat. Ini boleh dibaca melalui beberapa insiden lain di negeri lain yang melibatkan DAP dan 'perkaumannya'. Teng cuba mendedahkan kepada dunia bahawa penjawat awam di Malaysia yang dikuasai oleh kaum melayu (semua DO-DO adalah melayu) adalah penyeleweng, bersubahat dengan rasuah dan melindungi penjenayah pecah amanah. Dihujung jalan episod ini ialah, Teng (DAP) mahu jawatan PTD mesti dibuka kepada kaum lain.

Pemerhatian di Kedah dan Pulau Pinang menyerlahkan strategi perkauman DAP. Mempertahankan Melayu/Islam dari dilemaskan oleh agenda DAP tidak wajar dianggap assobiyyah, sempit, karut, membelakangkan muktamar, syura dan seumpamanya. Juga mempertahankan DAP atas alasan memperkukuhkan PR tidak wajar berasaskan sikap 'lurus bendul' pimpinan PAS seperti KS . Jangan sampai jarum yang sudah menembusi tulang betis kita anggap hanya kemucut yang terlekat di kaki seluar kerana nak jaga hati kawan dalam pakatan.

Sudah dimaklumkan banyak kali DAP Pusat datang ke Kedah berjumpa MB , dan setiap kali pertemuan isu yang paling hangat ialah bantahan keras DAP terhadap kuota 50% perumahan di atas tanah-tanah swapping di kedah, walaupun tanah swapping hanya melibatkan 15% daripada keseluruhan projek perumahan. Akhirnya terbongkar juga bahawa adalah menjadi strategi DAP menguasai lokasi strategik dan ekonomik di seluruh negara melalui perumahan dan polisinya (terutama di negeri PR). Saya beranggapan desakan mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan di negeri-negeri tertentu adalah lanjutan daripada agenda ini. Kita akan lihat PBT akan dikuasai oleh cina (DAP,MCA, Gerakan) jika berlaku pilihanraya PBT apabila strategi DAP berjaya. PBT adalah ‘kuasa’ kerajaan yang paling hampir dengan kepentingan rakyat.

APA dibuat Guan Eng di Pulau Pinang? RM500 untuk 900 orang untuk Melayu. (Huffaz dan guru KAFA) lalu disanjung semahunya oleh pelurus bendul dalam PAS (seperti KS dan angkatannya). Untuk cina pula, dimulakan dengan mengutamakan perojek pembangunan di sebelah pulau yang lebih ramai cina dan mula meminggirkan Seberang Prai yang ramai Melayu. Tanyalah TKM1 dalam hal ini. DAP tak buat apa pun untuk membetulkan penyelewengan kerajaan lama yang juga cina, selain lakonan debat soal tanah dalam TV. Itupun kerana tanah adalah isu yang sangat rapat dengan Melayu.

Takkan kita dianggap meninggalkan perjuangan asal PAS yang memerangi assobiyyah bila kita mula sedar, kritikal, prejudis dan menyediakan bentang pertahanan dari serangan perkauman 'rakan' kita dalam PR. Jangan jadi lurus bendul. Politik bukan hanya idealisme indah dan khayalan, ia adalah apa yang berlaku di sekeliling kita.

Saya ingin ulangi bahawa dalam keadaan budaya kerja dan kedudukan penjawat awam hari ini, yang dibina selama 50 tahun pemerintahan BN (100 tahun KCS di Kedah) mereka belum bersedia dikejutkan dengan cara Selcat Selangor. Kuasa politik dimenangi hasil persepsi yang dibina di kalangan pengundi, bukan dengan bukti dan hujjah objektif dalam mahkamah yang sering dibentangkan oleh lawyer-lawyer. Menghadiahkan penyapu kepada orang tidak pernah dibuktikan bersalah di mana-mana mahkamah, tetapi ia telah membina persepsi penjawat awam untuk 'membantu' menyapu Khir Toyo dan spesisnya di beberapa negeri.

Hal inilah yang tidak mengerti oleh KS dan gerombolannya. HA adalah rakan sejemaah, DAP dan PKR rakan tahalluf, memahami HA dan mempertahankan rakan sejemaah adalah lebih aula dari mempertahankan rakan tahalluf yang dikhuatiri sedang ‘menyembelih’ kita dalam diam. Apa yang dibuat oleh DAP sama seperti yang sedang dibuat Yahudi di Palestin. Bukalah mata!!!