9/28/2009

ABAIKAN AKHLAK BERJEMAAH – KHALID SAMAD LEBIH SUDU DARI KUAH

oleh: Penyapilidi09

Dalam banyak hal dalam Pakatan Rakyat (PR), jika berlaku sebarang isu dan insiden, pasti Khalid Samad (KS) akan terlibat dan terbabit. Kadang-kadang dia menjadi punca, kadang-kadang dia suka campur tangan dalam hal yang dia tidak sepatutnya campurtangan. Macam ada satu ego besar dalam kepalanya, orang lain lemah dan jahil, dia bijak dan berani, mula menggelojoh tak tentu pasal. Dia kekadang macam desperado dalam PAS, tapi tidak cukup bijak untuk melawan ‘gangster dadah’ dalam UMNO/BN, kadang-kadang tembakannya mengena tingkap rumahnya sendiri. Kekadang tiang rumahnya pun nak dicabut untuk mengambil hati sesetengah pihak. Betul kata abangnya Shahril Samad, KS yang sepatutnya masuk UMNO dengan tingkah lakunya itu, bukannya mengajak saya (Shahril) menyertai PAS atau PR. Dia dengan Dr Dzulkifli Ahmad dua kali lima. Profersional + ulama’ jadian =tak ketahuan punca.

Dia menulis sejarah politiknyanya dalam blog, tapi ada yang ‘tertinggal’. Orang yang pernah sezaman dengannya di UK tahun 70-an tahu sangat hal dia ni. Zaman cerdik pandai di UK menyertai PAS, dia menyertai group ‘Suara Islam’, bagi menyaingi PAS dan IRC waktu itu. Bila balik ke Malaysia, dia berusaha menubuhkan Parti Negara Islam, kerana dia tak percaya PAS boleh menjadi platformnya untuk memperjuangkan Islam. Apabila gagal dengan parti idamannya, dia menyertai PAS pada 1983, tapi dengan stail dan pembawaannya yang berpusat pada batang tubuhnya.

Dia menghentam pimpinan PAS termasuk Presiden secara terbuka di hadapan penyokongnya.Dia pernah meminggirkan diri dari PAS agak lama dalam tahun 1990-an, hanya datang bila diminta jadi calon PAS beberapa kali. Bila menang menjadi MP PAS bagi Shah Alam, dia buat hal seolah-olah PAS tiada Presiden dan Jawatankuasa yang memutuskan sesuatu perkara. Dia akan bersuara dulu dari keputusan parti. Dia lebih sudu dari kuah, kata pepatah baru, ‘tayar belakang potong tayar depan’!

Bukan sekali dia bertelagah dengan pimpinan PAS Negeri Selangor yang mungkin dianggap tidak cerdik seperti dirinya. Kerana disiplin yang tak menentu, kelantangan tak bertempat, menghentam pimpinan sesuka mulutnya, Pesuruhjaya PAS Selangor merombak kepimpinan Badan Perhubungan Negeri PAS Selangor (BPPNS) untuk meminggirkannya.

KS tidak segan silu menghentam Presiden Parti dalam majlis anjurannya. Kawan-kawan di Shah Alam lali dengan tabiatnya itu. Mungkin kerana dia rasa dia lebih cerdik dari semua AJK PAS Pusat yang lain, dia cuba mempengaruhi apa sahaja keputusan yang dibuat oleh PAS. Bila pandangannya tidak selari dengan keputusan mesyuarat, dia mula guna platform luar, mendedahkan rahsia parti dan butiran mesyuarat kepada sekutunya, termasuk DS Anwar Ibrahim.

Kini, dalam episode selcat di Selangor, dia menghentam Dato’ Dr Hassan Ali (HA) yang memberi cadangan dan kritikan kepada cara selcat menjalankan siasatan. Hentamannya mendahului Parti dan bertentangan dengan BPPNS. Mungkin dia rasa kerana dia Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik PAS Pusat, dia lebih tinggi dari Pesuruhjaya Negeri. Tiada siapa dari kalangan pimpinan tertinggi PAS membuat sebarang komen, selain dari KS yang menghentam teruk HA demi menjaga hati pimpinan PKR dan DAP. Kini dia dan Dr Dzulkifli sangat vokal di luar disiplin jemaah menghentam HA.

Isunya sangat jelas, kata HA, kebanyakan pegawai kanan kerajaan yang dihadapkan kepada Selcat adalah Melayu, mereka seolah dibuli dan diperlakukan seperti budak sekolah oleh Pengerusi dan Jawatankuasa Selcat yang kebanyakannya bukan Melayu. HA bimbang gelombang akibat ‘hadiah penyapu Khir Toyo’ berulang di Selangor dan kerajaan PR akan tumbang. HA pernah menjadi Penolong Pegawai Daerah Kuala Selangor, dan dia faham perasaan dan signal yang diberikan oleh Pegawai Kerajaan.

HA mencadangkan kaedah siasatan dan keanggotaan diubah supaya lebih sesuai dengan kelompok orang yang disiasat, tak lah menjadi macam membuli budak sekolah. Ini kerana HA mendapat maklumbalas yang negative dari pegawai kanan kerajaan negeri tentang kerja Selcat itu. Sewajarnya cadangan ini dibawa berbincang dalam pimpinan Kerajaan Negeri, bukan menjadi bahan Ahli Parlimen ‘pembangkang’ yang merasa diri sudah jadi kerajaan macam KS dan Dr Dzulkifli menghentam orang sendiri. Ketua Negerinya pulak tu. Apa pula tanggapan orang ramai (kumpulan rakyat terbanyak) kepada organisasi PAS yang bertelagah sesama sendiri dalam usaha KS dan Dr Dzul menjaga hati DAP dan PKR?

Khir Toyo tersembam kerana menghadiahkan penyapu kepada penjawat awam yang melaksanakan dasar yang diputuskan oleh orang politik, PR akan tersembam kerana orang politik dalam selcat dan KS tersilap membaca keupayaan sebenar penjawat awam.

ZAKAT TIDAK SAH ATAU KHUTBAH YANG ‘CELARU’.

Penyapulidi 09

Khutbah Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan tahun ini menjadikan solat Jumaat saya tidak khusyuk, fikiran saya berlegar-legar mencari kedudukan ibadah zakat saya sejak saya mula membayar zakat. Apa makna zakat saya, terutama zakat Fitrah saya dan keluarga yang saya bayar kepada janda anak ramai dan anak yatim yang sangat dhaif di kampung saya. Kadang-kadang saya beri kepada Pak Long Mud yang mengambil upah menorah di kebun milik orang dengan bilangan anak 11 orang. Saya kenal sangat Pak Long Mud termasuk dalam asnaf zakat kerana dia miskin.

Kepala saya berputar ligat mencari apakah maksud dan agenda khutbah yang dibaca khatib hari ini yang menyatakan zakat mestilah dibayar melalui Amil yang dilantik oleh Pejabat Zakat Negeri. Jangan dibayar terus kepada mana-mana individu atau kepada amil yang dilantik oleh pertubuhan/organisasi atau parti politik tertentu, dibimbangi zakat itu tidak sah! Itu macam satu amaran.

Maknanya zakat saya selama ini sangat meragukan, mungkin tidak sah,(?) Demikian juga zakat orang lain yang dibayar terus kepada asnaf (Anak yatim, orang miskin, orang berhutang, muallaf, pejuang fisabilillah, musafir, hamba dan amil yang dilantik) juga tidak sah. Ibadat zakat yang tidak sah, adalah kerana tidak mengikut rukun (syarat sah) ataupun tidak cukup syarat wajib zakat. Saya mengira semula semua faktor itu, saya patuhi dengan cermat dan lengkap.

Imam rukuk, saya pun rukuk, surah apa yang dibaca imam saya tak perasan. Hingga imam memberi salam, saya tidak pasti adakah saya menghabiskan tahiyyat akhir saya, saya pun menyapu muka dan bersila. Selepas berdoa, saya membuat kesimpulan muktamad! Zakat saya sah dan khutbah hari ini salah - dikarang dan diluluskan oleh orang yang jahil, lebih jahil daripada saya.

Balik ke rumah saya telefon beberapa rakan dan mereka mendengar khatib di tempat mereka membaca khutbah yang sama. Tidak ada yang salah dalam ibadat zakat saya. Yang salah ialah khutbah yang dikarang oleh Ustaz Mohd Noor Mahang, seorang pengkursus haji dan umrah dari Mahang, Kedah. Dia mengarng atas arahan siapa? Kenapa tidak Pegawai Jabatan Agama atau Pegawai-pegawai agama Daerah yang semuanya bergelar Sheikh mengarang khutbah bab zakat? Apa dibuat Pengarah Unit Dakwah, dan ulama’ besar dari MAIK, JAHEIK dan Jabatan Mufti? Apa pendapat mereka dalam bab ini?

Seorang sahabat menceritakan dalam satu majlis yang disertai Pengarah Jabatan Zakat Kedah, Sheikh Ghazali dan beberapa Ustaz lain di Menara Zakat, seorang peserta bertanya adakah sah zakat yang dibayar terus kepada asnaf tanpa melalui Pejabat Zakat Negeri? Sheikh Abd Hamid Tahir yang terkenal dengan kelantangan atas kebenaran, menjawab sambil memohon maaf dua tiga kali kepada Pengarah Jabatan Zakat bahawa dalam Mazhab Shafie, membayar terus kepada asnaf adalah lebih afdhal. Maknanya sah zakat itu dan cara itulah yang lebih baik. Khalas!

Kenapa diminta orang pencen menjalankan tugas pegawai agama. Sedangkan Pegawai Agama kita sekarang hebat-hebat di radio dan TV. Gred mereka juga hebat-hebat, N48, N52, N54 dan ada JUSA. Dato’ Sheikh Uzir Baharom, Sheikh Fesol Omar, Sheikh Abdullah Awang Sa, Sheikh Marwazi, dan lain-lain sheikh lagi hebat di pejabat dan pentas forum. Apakah kerja mereka berceramah dan buat lawak bagi orang ketawa saja kah? Ataupun di Forum Perdana mereka dibayar saguhati, mengarang khutbah atau tidak, gaji masuk tiap-tiap bulan. Saya cadangkan permohonan Jabatan Agama untuk menambahkan kakitangan ditangguhkan dulu sehingga para Sheikh itu benar-benar bekerja atas ilmu dan keupayaan mereka.

Kalau dalam bab zakat fitrah yang wajib atas setiap kepala pun dia tak lulus, tak betul dan celaru, macam mana ustaz itu mengajar bab haji yang wajib bagi yang berkemampuan sahaja? Bukankah lebih utama bab zakat dari bab haji. Siapa yang suruh dia menulis dan apa agendanya?

Saya percaya parti politik tertentu itu ditujukan kepada PAS! Kenapa selepas PAS membentuk kerajaan negeri baru hal ini dibangkitkan? Kenapa waktu BN memerintah perkara ini tak pernah disebut? Walau apa pun alasan pengarang khutbah itu, Saya tetap beri’tiqad bahawa pejuang-pejuang Islam dalam PAS adalah tergolong dalam asnaf Fisabilillah yang layak diberi zakat, walau mereka menerimanya ataupun tidak. Malah ustaz Mat Noor Mahang yang mengajar di merata masjid juga adalah asnaf dalam ketegori ini, tetapi dengan karangan khutbah beliau yang ‘celaru’ itu, beliau terkeluar dari fisabilillah, dan masuk kumpulan ‘fisabili cari makan’ !